14 November 2009

Andainya Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Sudi Mendengar

tulis2 ckit pasal politikus...pikir2 ek.

Oleh: Abu Hafiz b. Salleh Hudin

Tulisan ini saya tulis bukanlah menambah kekalutan yang telah bersarang didalam kepimpinan PAS negeri Selangor semenjak tertegak kerajaan campuran Pakatan Rakyat (PR) di Selangor. Namun, dengan hati yang insaf, ingin saya lontarkan nasihat dan persoalan yang sebaik mungkin dilihat bersama dengan hati seorang pejuang Islam dan pendakwah yang ikhlas yang bukan semata-mata terdesak inginkan terdirinya Daulah Islamiah di Malaysia tanpa disedari kelompangan ilmu yang terlalu ketara.
Tulisan ini juga bukanlah bagi ‘mengajar’ pimpinan dan ulama’ PAS yang dikatakan terkenal dengan berpegangnya dengan al-Quran dan al-Sunnah. Juga bukan diterjemahkan maksudnya untuk dibelek dan dikaji sehingga ke peringkat pusat atau negeri. Tetapi, tindakan yang sepatutnya dialu-alukan setelah apa yang anda fahami dari tulisan ini dengan rasa insaf dan sayang kepada Islam dan gerakannya.
Mungkin selama ini, saya sekadar bergerak dengan ceramah, tazkirah, khutbah dan dalam perbincangan kecil dengan sahabat-sahabat yang terlibat dalam gerakan Islam dan kepimpinan Kampung Rantau Panjang, Klang dan pimpinan PAS cawangan dan kawasan. Saya telah dapat memberi sumbangan yang sedikit dalam PRU-12 dengan rasa bersyukur diatas kemenangan PR. Dengan mengharapkan perubahan dan prestasi kerajaan yang baik, kerajaan Selangor bergerak dengan penuh kepayahan dan cabaran. Biasalah, memberikan wajah baru untuk sebuah kerajaan yang telah ditadbir dengan kepincangan dan ketiadaan integriti disana-sini amatlah payah. Namun, sikap sesetengah kepimpinan PAS yang menduduki singgahsana pemerintahan negeri dan diikuti ‘pemimpin’ PAS yang setakat duduk dikerusi ketua kampung yang segelintirnya bersikap bukan akhlaq pimpinan Tok Guru atau mana-mana ulama’ Islam amat menghampakan.
Sikap yang dilihat tidak mesra Islam dan rakyat yang terpalit pada Exco Agama merangkap Pesuruhjaya PAS Selangor serba sedikit mencalar kredibiliti PAS sebagai parti Islam! Sebagai orang luar yang mahu melihat survival kepimpinan yang dipikul mereka yang memahami Islam dan bergerak kepada Islam adalah amat diperlukan. Saya meminta dan merayu agar perubahan didalam PAS digerakkan. Tinggalkan gaya pemikiran lama yang membeku dan seakan tiada kesalahan dalam gerak kerja dan dakwah PAS. Islam yang diletakkan dalam sistem perjuangan PAS janganlah dilihat sebagai asas tunjang bagi perjuangan politik semata tetapi Islam yang perlu dizahirkan perlulah luas.
Maafkan saya buat kali kedua, kiranya nasihat dan cara tulisan saya agak kasar, namun PAS telah berjaya mempamerkan keIslaman dalam politik bukan dalam cabang-cabang yang luas daripada itu. Insaflah sesama kita, politik Islam (Siyasah al-Syari’yyah) bukanlah juzuk besar dan juga bukan segala-galanya dalam Islam tetapi ia mewakili satu juzuk kecil perbincangan fiqhiyyah dan ia tidak melibatkan sejumlah besar umat Islam. Mungkin segelintir pihak mendakwa semua perlu terlibat dengan politik kerana ia melibatkan jatuh bangun kerajaan Islam. Ya, umat Islam perlu berpolitik, namun bukan dengan mendesak seluruh umat terletak didalam satu parti dan menjadikan mereka fanatik dan taasub dengannya. Tidak! Ketika saya menulis artikel ini, saya sedang melakukan proses politik dan berfikir akannya, namun saya tidak memaksa diri bagi terlibat secara aktif atau pun tidak aktif atau menanam fanatisme kepartian didalamnya. Mendakwa dengan menyertai PAS sahaja anda telah masuk ‘jamaah’ seperti mana yang disebutkan didalam hadith Nabi S.A.W.: “.....hendaklah kamu bersama dengan jamaah...” . Namun, hadith ini ditafsirkan oleh segelintir penyokong dan para penceramah PAS dengan jamaah yang dimaksudkan seakan parti politik dan seakan mahu menisbahkan kepada gerakan Parti Islam se-Malaysia! Maha Suci Tuhan, apakah ini cara kita dalam berdakwah? Menafsirkan apa-apa nas al-Quran dan al-Hadith menurut tafsiran parti dan selera kita? Maafkan saya, tafsiran ini dilakukan dihadapan saya, bukan dipindahkan cerita dari orang lain. Ianya bukan rekaan! Moga Allah mengampuni ketidakcermatan kita berceramah.
Antara masalah terbesar yang akan dihadapi PAS sebagai parti Islam apabila dilhat sebagai alternatif kepada kerajaan memerintah adalah dengan meningkatnya ahli parti dan penyokong yang jahil tanpa ilmu. Bayangkan, ketika saya bersusah payah bersama sahabat dan penyokong PAS yang ikhlas membuka kelas pengajian Ulum al-Hadith bagi memahami perbincangan hadith-hadith baginda Nabi S.A.W. secara ilmiah, rasanya yang hadir adalah mereka yang sama. Tidak lebih dengan jumlah jari sebelah tangan, merekalah yang gigih dan istiqamah untuk mendengar dan menuntut ilmu. Berbeza dengan malam Jumaat, usrah parti dihadiri hampir keseluruhan ahli PAS cawangan! Apakah maksudnya ini? Ilmu yang ditadah oleh segenap generasi ilmuwan dan sarjana Islam dipandang enteng bagaikan tidak bernilai bila dibandingkan dengan usrah politik! Alangkah baiknya kiranya anda mahu memuhasabah diri, adakah memahami perbincangan Ilmu Hadith lekeh dibandingkan politik parti? Sedarkah atau tidak, kita bergerak didalam parti dengan lisan-lisan penceramah yang berada diatas pentas PAS berlumur dengan periwayatan hadith palsu dan tidak diketahui para ulama’ hadith? Adakah anda berbangga dengan Islam dan dalam waktu yang sama bercakap dalam keadaan dangkal terhadap disiplin wajib agama? Tahukah anda begitu ramai mereka yang megah berjubah, berserban, dipanggil ustaz, ulama’ tidak tahu berbahasa Arab, jahil akan disiplin Ulum al-Quran dan Ulum al-Hadith, kabur dengan Fiqh dan Kaedah Usul yang terbina darinya, Akidah dan perbincangan Usuluddin yang samar-samar? Cukup mudah, anda perlu berkopiah dan berserban, anda akan dilabel sebagai ulama’ PAS. Maafkan saya, itulah hakikat yang anda terpaksa telan, ia realiti yang berlaku. Sekadar ustaz kampungan dan ulama’ jadian yang tidak kemana, apabila bertembung pandangan dengan anak muda yang memiliki latarbelakang keilmuan yang jelas, bersedia melabel sebagai kaum muda, memandai-mandai dan paling perit dituduh sebagai agen WAHABI. Inikah akhlaq Islam yang anda terapkan didalam usrah parti? Silalah review terhadap silibus usrah parti anda.
Saya hadiri usrah parti, saya mendengar apa yang disampaikan oleh naqib usrah, bukannya saya sekadar melontar tuduhan palsu untuk mengkritik anda. Namun, perbincangan al-Wala’ dan al-Bara’ yang ditekankan tanpa mengetahui apakah dia asas doktrin akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah sehingga yang diketahui pendokong sekadar perbicangan al-Bara’ dan al-Wala’ dan seakan akidah Islamiyah adalah sekadar itu. Bukan menafikan wujudnya mereka yang ikhlas dan mempunyai displin ilmu, akhlaq yang cemerlang namun apa yang saya ‘terpaksa’ nyatakan disini adalah fonemena sebahagian besar dipihak anda yang tidak memungkinkan anda menutup sebelah mata. Saya tidak meminta anda bersetuju dan menerima bulat-bulat apa yang saya nyatakan disini, namun baliklah kepada al-Quran al-Sunnah, beleklah kedua khazanah agama ini dengan ikhlas, insaf dan meyakini anda berdiri diatas sebuah parti yang anda telah namakan sebagai Parti Islam yang akan dinilai oleh umat ini, rakyat yang anda inginkan memimpin mereka kearah perubahan dan yang terpenting nilaian yang dilakukan Qadhi Rabb al-Jalil.
Maka, hasil daripada tarbiyah yang wujud daripadanya kelompongan yang nyata, tarbiyah dibina atas kepentingan politik dan parti, lahirlah generasi ahli parti, pendokong dan pimpinan yang naik memimpin dengan penuh kepayahan, kurangnya kebijaksanaan dan melakukan ‘jenayah’ agama yang amat menyedihkan. Bagaimanakah anda ingin justifikasikan dengan tindakan seorang Exco Agama, Pesuruhjaya negeri yang ada sekadar PhD yang tiada kaitan dengan jawatan yang disandang kemudian menafsirkan sepotong ayat al-Quran yang tidak pernah ditafsirkan sebegitu oleh mana-mana ulama’ tafsir dihadapan saya disalah sebuah kampung di Klang diawal kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor? Ketika sedang panas isu ‘jenayah’ kebodohan JAIS menangkap ahli-ahli ilmu agama dengan rakus, berdalilkan ketiadaan tauliah, dimanakah pimpinan PAS dan ‘Exco Agama’ tersebut untuk mengeluarkan ‘kuasa’ yang dipegangnya yang mana suatu ketika dulu tauliah ini pernah dilabel ‘dosa’ dan ‘senjata’ pihak kerajaan UMNO-BN? Adakah ketika pemerintahan UMNO-BN, tauliah agama adalah dosa dan bertukar pahala ketika dipimpin PR? Dimanakah nilai ilmiah dan keterbukaan yang dilaung-laungkan oleh anda? Saya merayu supaya janganlah perubahan yang diimpikan saya dan dikongsi bersama rakyat Malaysia sekadar ‘make-up’ luaran bagi mengaburi undi rakyat...lakukanlah perubahan, saya amat merayu. Ingatlah kata-kata Dr. Abu Hassan Hasbullah di Seminar PAS: “Menolak persepsi (luar terhadap anda), sikap primitif!” Janganlah untuk mengkritik Presiden dianggap menghina ulama’, sedangkan pandangan baginda Nabi S.A.W. ada yang dibantah oleh sahabat sekiranya bukan berbentuk wahyu. Lihatlah Surah al-Anfal dan tafisrannya yang dibuat oleh ulama’ Mufassirun. Presiden anda, saya dan semua diantara kita TIDAK MAKSUM dan layak dikritik melainkan Nabi S.A.W.
Saya juga tertanya-tanya, dimanakah suara Dewan Ulama’ PAS sama ada negeri atau pusat? Dikala masyarakat menghadapi penangkapan mufti mengajar agama, sultan yang ingin berdangdut didalam istana, pertimbangan untuk lanjutan beroperasi kelab malam di Selangor dan kerasukan JAIS menghina ilmu Islam dan ahlinya? Dimanakah anda wahai ‘ulama’-ulama’? Dimanakah anda ketika saya dituduh wahabi, sesat dan pemecah belah masyarakat oleh golongan yang tidak memahami bahasa arab pun, bagi mendirikan solat sunat Eid dipadang? Bisukah anda? Dimanakah pendirian anda dalam hal ini, yang mana dalam waktu yang sama anda menuduh ulama’ UMNO sebagai ulama’ bisu? Tidak bisu jugakah ini? Adakah anda sebagai tangkap muat untuk menjadi bukti, ‘oh, parti ini ada Dewan Ulama’, so ia parti Islam!’ Cukupkah Dewan Ulama’ sebagai dewan eksekutif tidak boleh diarah, disentuh dan ditegur? Maafkan saya buat sekian kali, pandangan peribadi saya, Dewan Ulama’ PAS adalah badan yang paling tidak berfungsi untuk masyarakat dan umat yang wujud didalam PAS berbanding peranan yang dilakukan oleh Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat.
Kelemahan anda dalam menggunakan kekuatan pemerintahan amat dukacita. Saya mengerti bagaimana mereka (musuh anda) menggunakan Sultan sebagai perisai, bukannya saya tidak tahu. Namun, dimanakah slogan yang anda laungkan: “Jihad yang terbesar, berkata benar dihadapan pemerintah zalim”. Telah berlalu para pemimpin Ikhwan al-Muslimun dengan teguran yang benar, lunak dan berakhlaq dihadapan para pemerintah Mesir. Al-Qaradhawi dan nama yang sebaris dengannya telah meringkuk didalam penjara menegur pemerintahdiatas kesilapan yang menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah. Tetapi, setakat ini tiada seorang ulama’ anda mengaplikasikan cara teguran ini. Gentarkah kita dengan kehilangan kerusi pemerintahan sekiranya kita menegur Sultan yang telah puluhan tahun menyanggahi prinsip sebenar Syariat Islam? Baculkah ulama’ kita sehingga takut kehilangan kerusi yang diduduki? Mendukacitakan, Pengarah JAIS boleh menghina dan menyindir Ir. Khalid Samad sebagai tidak pandai berkhutbah dan tidak berkelayakan sedangkan Pengarah JAIS sekadar mempunyai Ijazah Ekonomi dan bukan agama! Saya nasihatkan, segera berusaha merubah secara drastik dan agresif terhadap JAIS yang lesu dan mati.
Bangunlah Parti Islam! Janganlah membeku dan dibeku. Anda punya matlamat yang lebih jauh daripada sekadar memerintah. Dan tanggungjawab memikul amanah agama dan merealisasikan kata-kata anda akan ditagih. Umat Islam dan rakyat bukan dicandu dengan agama atau dirasuah perubahan dengan nama Islam, namun mereka dahagakan perubahan yang didasari ilmu, ikhlas dan insaf! Bukan perubahan luaran semata, namun bagi menelusuri peribadi kepimpinan yang cukup terbilang yang ditunjuki Menteri Besar Kelantan, Fadhilah al-Syeikh Dato’ Nik Abd. Aziz Nik Mat. Kepimpinan yang disulami ilmu dan kerendahan hati yang mana bukan sekadar menabur janji tetapi menjadikan ia realiti dengan rasa taqwa di hati.
Saya ingatkan sekali lagi, melakukan perubahan dengan menegur pimpinan parti atau mengubah mereka walau dikatakan sebagai ulama’ bukanlah dosa besar seperti melanggar al-Wala’ dan al-Bara’ dalam agama. Mohonlah kerendahan hati dari Allah S.W.T. dan mintalah hidayah dan tawfiq kiranya perjuangan ini dibina atas asas ikhlas untuk menjadi Islam sebagai udara yang dijadikan oleh rakyat Malaysia sebagai untuk hidup. Kritikan ini bukanlah satu hinaan atau permusuhan, tetapi kadangkala anda akan dapati pengkritik anda adalah orang yang ikhlas dan sayang kepada anda. Sekadar lontaran pandangan dari saya!

SELAMAT BERJUANG & BERUBAH!

Jabatan al-Quran & al-Sunnah
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
hafiz.alrabi@gmail.com
013-2024872

2 comments:

  1. salam bro,
    lama xdgr ko bercakap,
    rindu pulak,
    tup2 kuar isu ni, memang aku teruja..dan terkesan
    isu nk ko ketengahkan ni buat aku nmpak,
    kita masih byk ruang yg boleh diperbaharui, diperkemas.. share isu-isu politik lain pun xpe bu, byk anak muda xamk port politikus ni, but xramai not means xde lgsung..

    ReplyDelete
  2. thanx...silalah meberi kritikan agar sesama bermanfaat

    ReplyDelete

umpatan anda pula?